LANGKAH-LANGKAH
MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat
yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam
sektor perindustrian telah di kecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada
sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang bersikap seperti
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak mengendahkan kebersihan
alam sekitar. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata
supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk
menangani masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting
dalam kehidupan kita. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya
mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif
perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani
masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal
ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam
sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada
alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan
pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat
daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan
lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat
berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi
penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya.
Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan
dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu,
penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya
kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah
menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan
bahan kimia.
Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang
berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan
sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini,
berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian
kebersihan yang telah ditetapkan? Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi
piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan
sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku
tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini turut
menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang
mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini,
undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat
mengurangkan pencemaran alam sekitar. Jika hal ini tidak dibendung, masyarakat
akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein. Bukan itu
sahaja, majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor
akibat kekurangan protein.
Bukan itu sahaja, program kitar semula yang di uar-uarkan
oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat kesedaran
terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita
seharusnya membuka mata akan sahutan kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh
diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan
bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah
disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien
bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu.
Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini,
sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah
untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu, negara
juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekali
gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar. Tegasnya, program kitar semula ialah salah satu cara
untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.
Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga
melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat menjaga
alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui
kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai
tentang kebersihan alam sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai
matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar
seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam
sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan
sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita
akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk
mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Konklusi, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi
mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Oleh itu, sikap bagai aur dengan
tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan tentunya akan
lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini
amat dititikberatkan kerana kebersihan juga merupakan separuh daripada iman.
Kebersihan alam sekitar juga amat penting bagi menarik pelancong-pelancong dari
seantero dunia dan seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan
2020. Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk
Seri Najib Tun Razak supaya menggembleng tenaga menjaga kebersihan dan keamanan
negara Malaysia sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.